Monday 8 July 2013

PELATIH DAR ASSAADAH JUARA BOLA TAMPAR KASUP 2013


Dar Assaadah telah mengambil bahagian dalam Karnival Sukan Pusat-Pusat Perlindungan Wanita (KASUP) Kali Ke 3 yang diadakan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan pada 2 Julai 2013.



Karnival sukan ini diadakan bagi memupuk semangat kesukanan dalam melahirkan individu yang sihat dan cergas. Selain itu ianya juga merupakan platform terbaik dalam membentuk jalinan kerjasama dan mengeratkan ikatan ukhuwah di antara pusat-pusat perlindungan.

Kontingen dari Dar Assaadah telah menyertai 5 acara daripada 6 acara yang dipertandingkan. Pelatih-pelatih Dar Assaadah telah menjuarai acara bola tampar dan secara keseluruhannya Dar Assaadah mendapat tempat ke 3 terbaik. Tahniah. KDS boleh !

Lawatan Dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang

Pada 28 Jun 2013, Dar Assaadah menerima kunjungan rasmi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. Lawatan ini bertujuan untuk perkongsian pengalaman DS mengendalikan wanita-wanita bermasalah sepanjang tempoh perlindungan.



Thursday 23 May 2013

SAMBUTAN HARI GURU 2013

Sempena dengan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun, Dar Assaadah tidak ketinggalan untuk meraikan guru-guru @ tenaga pengajar di Dar Assaadah. Walau pun tidak semeriah sambutan yang diadakan di tempat lain, sambutan ini begitu bermakna. Tanpa guru 'mereka' tidak akan pulang dengan kejayaan.



Thursday 11 April 2013

Jawatankuasa Dar Assaadah Bersidang

Pada 28 Mac 2013 (khamis)- Mesyuarat Jawatankuasa Dar Assaadah Bil 1/2013 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Dar Assaadah. Mesyuarat kali pertama bagi tahun 2013 ini bersidang bagi membincangkan perkara-perkara yang melibatkan pengurusan dan pentadbiran DS.

Mesyuarat ini juga menampilkan beberapa ahli jawatankuasa yang baru dilantik. Perlantikan ahli baru ini adalah bagi memantapkan jawatankuasa dalam usaha meningkatkan tahap profesionalisme DS. Dalam masa yang sama, YBhg. Dato' Mohamad bin S Ahmad, pengerusi jawatankuasa, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli jawatankuasa lama yang tidak dilantik di atas komitmen yang diberikan selama ini. Beberapa keputusan penting telah diputuskan dalam mesyuarat pada kali ini.

Pengerusi jawatankuasa, Dato' Mohamad bin S Ahmad

Dar Assaadah menganjurkan Karnival Sukan Tahunan 2013



Dar Assaadah telah menganjuran Karnival Sukan Tahunan DS bagi tahun 2013 pada 25-27 Mac lalu. Program ini hanya melibatkan pelatih-pelatih dan kakitangan DS. Pelbagai acara sukan dipertandingkan dengan tujuan untuk mendidik ke arah gaya hidup yang lebih sihat.


  
Acara kemuncak program ialah majlis penutup dan penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Pengetua DS sendiri pada 4 April 2013. Acara sukan tahunan ini merupakan aktivti yang dirancang bagi mempelbagaikan program bimbingan dan pemulihan pelatih-pelatih DS. Dalam ucapan penutup, pengetua DS mengesa pelatih-pelatih dan kakitangan DS agar mengamalkan budaya hidup yang sihat melalui sukan sebagaimana akal yang sihat terletak pada badan yang sihat



Tuesday 19 February 2013

LAWATAN DARIPADA JABATAN PEMBANGUNAN WANITA

14 Feb 2013 - Rombongan Jabatan Pembangunan Wanita telah berkunjung ke Dar Assaadah melibatkan 13 orang pegawai dari pelbagai cawangan JPW, JKM dan EPU. Turut hadir Puan Zurinah binti Pawanteh, Ketua Pengarah JPW dan Puan Rokiah binti Harun dari EPU, JPM.

Rombongan lawatan ini adalah untuk berkongsi maklumat, percambahan idea dan jalinan hubungan kerjasama.





Thursday 7 February 2013

Latar Belakang



Mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kali ke 30 pada 26 hb. Januari 1988 telah bersetuju untuk menubuhkan satu pusat perlindungan Darul Islah ( sekarang dikenali sebagai Dar Assaadah) yang bertujuan di antara lain memberi perlindungan kepada wanita –wanita Islam yang sedang menghadapi masalah.

Satu deraf kaedah-Kaedah Dar Assaadah 1990 telah digubal dan telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara melalui surat rujukan JPN(S) 200/73 bertarikh 2 Ogos 1990.

Deraf ini mengandungi peruntukan-peruntukan mengenai : penubuhan dan tujuan Dar Assaadah, perlantikan Jawatankuasa dan keahliannya, tugas-tugas Pengerusi, Timbalan, Setiausaha dan Bendahari, Kuasa-kuasa Jawatankuasa Kewangan dan akaun serta rekod dan kuasa Majlis. Pada tahun 1990, Majlis mengambil keputusan meluluskan deraf tersebut dan mengguna-pakai kaedah-kaedah tersebut.

Pusat ini mula beroperasi pada Nov 1989 di sebuah blok rumah kedai di Taman Bukit Anggerik Cheras dengan kemasukan seramai 2 orang pada peringkat permulaan dan bertambah menjadi 9 orang.

Pada tahun 1996 ia telah berpindah di sebuah lot rumah banglo milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di No 19 Jln Gurney 3, Datuk Keramat Kuala Lumpur dengan bilangan penghuni seramai 40 orang.

Pada 2 Februari 2000, Institusi Kebajikan ini telah berpindah ke sebuah kompleks yang lebih besar dan selesa, di mana ianya juga adalah milik MAIWP yang terletak di Lot 28188, Jalan 36/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur.

Pada awal penubuhannya kompleks ini diberi nama Kompleks Kebajikan Masyarakat Islam dan kemudian telah ditukar namanya kepada Kompleks Dar Assaadah secara rasminya pada tahun 2001.

Ketika itu, Pengurusan Kompleks ini diletakkan di bawah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam, Wilayah Persekutuan ( JAWI ). Bermula pada tahun 2007, segala pengurusannya diserahkan kepada Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pada 4 Februari , Kompleks ini sekali lagi berpindah ke tempat baru iaitu di Kampung Delima, Jalan Jambu Laut, Kg. Batu, Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
 

OBJEKTIF

Memberi perlindungan tempat tinggal sementara

Memberi didikan agama dan bimbingan kerohanian

Memberi latihan kemahiran


MOTTO
Kami Datang Dengan Harapan
Kami Pulang Dengan Kejayaan