Tuesday 19 February 2013

LAWATAN DARIPADA JABATAN PEMBANGUNAN WANITA

14 Feb 2013 - Rombongan Jabatan Pembangunan Wanita telah berkunjung ke Dar Assaadah melibatkan 13 orang pegawai dari pelbagai cawangan JPW, JKM dan EPU. Turut hadir Puan Zurinah binti Pawanteh, Ketua Pengarah JPW dan Puan Rokiah binti Harun dari EPU, JPM.

Rombongan lawatan ini adalah untuk berkongsi maklumat, percambahan idea dan jalinan hubungan kerjasama.





Thursday 7 February 2013

Latar Belakang



Mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kali ke 30 pada 26 hb. Januari 1988 telah bersetuju untuk menubuhkan satu pusat perlindungan Darul Islah ( sekarang dikenali sebagai Dar Assaadah) yang bertujuan di antara lain memberi perlindungan kepada wanita –wanita Islam yang sedang menghadapi masalah.

Satu deraf kaedah-Kaedah Dar Assaadah 1990 telah digubal dan telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara melalui surat rujukan JPN(S) 200/73 bertarikh 2 Ogos 1990.

Deraf ini mengandungi peruntukan-peruntukan mengenai : penubuhan dan tujuan Dar Assaadah, perlantikan Jawatankuasa dan keahliannya, tugas-tugas Pengerusi, Timbalan, Setiausaha dan Bendahari, Kuasa-kuasa Jawatankuasa Kewangan dan akaun serta rekod dan kuasa Majlis. Pada tahun 1990, Majlis mengambil keputusan meluluskan deraf tersebut dan mengguna-pakai kaedah-kaedah tersebut.

Pusat ini mula beroperasi pada Nov 1989 di sebuah blok rumah kedai di Taman Bukit Anggerik Cheras dengan kemasukan seramai 2 orang pada peringkat permulaan dan bertambah menjadi 9 orang.

Pada tahun 1996 ia telah berpindah di sebuah lot rumah banglo milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di No 19 Jln Gurney 3, Datuk Keramat Kuala Lumpur dengan bilangan penghuni seramai 40 orang.

Pada 2 Februari 2000, Institusi Kebajikan ini telah berpindah ke sebuah kompleks yang lebih besar dan selesa, di mana ianya juga adalah milik MAIWP yang terletak di Lot 28188, Jalan 36/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2, 68100 Batu Caves, Kuala Lumpur.

Pada awal penubuhannya kompleks ini diberi nama Kompleks Kebajikan Masyarakat Islam dan kemudian telah ditukar namanya kepada Kompleks Dar Assaadah secara rasminya pada tahun 2001.

Ketika itu, Pengurusan Kompleks ini diletakkan di bawah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam, Wilayah Persekutuan ( JAWI ). Bermula pada tahun 2007, segala pengurusannya diserahkan kepada Bahagian Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Pada 4 Februari , Kompleks ini sekali lagi berpindah ke tempat baru iaitu di Kampung Delima, Jalan Jambu Laut, Kg. Batu, Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
 

OBJEKTIF

Memberi perlindungan tempat tinggal sementara

Memberi didikan agama dan bimbingan kerohanian

Memberi latihan kemahiran


MOTTO
Kami Datang Dengan Harapan
Kami Pulang Dengan Kejayaan